usahawan sayur : berbudi pada bumi takkan rugi

 



Faktor ketiadaan tanah yang sesuai bukan lagi alasan untuk tidak menceburkan diri dalam bidang pertanian yang kini menjanjikan pulangan lumayan.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Mereka yang berminat, sudah tentu ada jalan penyelesaian, apatah lagi sekiranya mempunyai modal yang mencukupi.

Ramai juga pengusaha pertanian yang berjaya hasil daripada kegigihan di samping mempunyai daya kreativiti serta inisiatif yang luar biasa.


Ketika masyarakat hanya mengetahui ilmu pertanian tradisional dan konvensional, segelintir pengusaha pula memikirkan cara yang lebih kreatif tetapi menarik dan yang lebih penting, mendatangkan pulangan menguntungkan.

Sebagai contoh, dengan hanya menggunakan baja buatan sendiri, tanaman sayuran bukan saja tumbuh subur tetapi juga mengeluarkan hasil yang amat menggalakkan. Teknologi tersebut telah dimanfaatkan oleh seorang anak Felda yang masih menimba pengalaman tetapi berjaya membuktikan kemampuannya mengeluarkan hasil sayur-sayuran berbekalkan kreativiti.

Munawir Maidin, 43, bijak dalam mengeksploitasi

tanah di belakang rumah beliau dengan menceburkan diri dalam bidang pertanian. Beliau menanam sayuran di tanah seluas 1 ekar dengan amalan pertanian terkawal tanpa menggunakan racun makhluk perosak.

Teknik tanaman secara bergilir antara kangkong, bayam, kacang bendi, kacang panjang dan kucai telah dilaksanakan bagi mengurangkan ancaman makhluk perosak.


“Setiap bulan dapatlah dalam RM600. Tolak kos itu ini dapatlah bersih RM400,” kata Encik Munawir tersenyum puas dengan hasil tanaman beliau.


Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai kaedah penanaman menggunakan teknik dan formulasi baja boleh menghubungi Encik Munawir di talian 013-5249589.

2 komen: