usahawan kuih muih : Perniagaan Kecil Sudah Sebati




wak mastor & cik nah


Bermula pada lewat 1980-an di Felda Trolak Selatan, Sungkai, pasangan ini telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan mereka berlokasikan hanya di halaman rumah sahaja demi untuk menjana pendapatan sampingan. Antara bahan jualan mereka ialah Air Batu Campur (ABC), laksa, kerang rebus dan kuih-muih. Pasangan ini memulakan aktiviti menjual dari siang hinggalah malam.

Beberapa tahun kemudian, Encik Mastor Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Wak Tor dan isterinya, Puan Hasnah Aptu telah berhijrah ke tempat baru iaitu di Tanah Rancangan Felda Gunung Besout 2 Tambahan. Pada masa itu, Wak Tor tidak lagi menjalankan peniagaan makanannya, dia hanya menjalankan aktiviti pertanian. Walaubagaimanapun, hasrat hatinya sangat tekad mahu membuka semula warung perniagaan kecil-kecilannya.


Pada tahun 1991, Wak Tor dan isterinya telah sekali lagi memulakan perniagaan di Felda Gunung Besout 2 Tambahan. Dengan menggunakan motosikal, Wak Tor mengelilingi kawasan kampung Felda Gunung Besout 2 Tambahan untuk menjual kuih-muih dan nasi lemak.


”Pendapatan yang diperolehi tidaklah begitu besar tapi cukuplah untuk menambah sedikit pendapatan yang diperolehi dari hasil jualan kelapa sawit yang sememangnya menjadi punca rezeki masyarakat di Felda ini” kata Cik Nah.


Tewas dengan desakan kemelesetan ekonomi menyebabkan mereka menghentikan perniagaan mereka. Bagaimanapun keinginan yang tekad untuk berniaga pasangan ini kembali membuat jualan pada bulan Jun 2009.


”Punca sebenar kami memulakan perniagaan ini kerana ada penduduk kampung yang masih mencari jualan kami semasa kami telah menghentikannya. Mereka menyangkakan masih ada jualan kuih-muih dan nasi lemak seperti sebelum ini” kata Wak Tor dan isterinya,Cik Nah.


Sehingga ke hari ini, pasangan yang mempunyai enam orang anak ini telah menerima banyak tempahan untuk majlis-majlis di sekolah dan gotong-royong majlis kenduri di sekitar Felda Gunung Besout.

0 komen:

Post a Comment