usahawan cendawan : cendawan..antara nilai dan khasiat







 

 "Tanaman ini tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya. Ia amat sesuai dan berpotensi dijadikan punca pendapatan sampingan," kata Siti Sarah Samsudin,32, seorang pengusaha cendawan tiram.

Tanaman cendawan tiram kelabu jika diusahakan secara bersungguh-sungguh boleh memberi pulangan yang tinggi kepada pengusahanya. Menyedari peluang tersebut, seorang ibu cekal yang juga anak kelahiran Felda Besout memberanikan diri untuk mengusahakan projek tersebut secara serius di Felda Besout 2, Sungkai,Perak.


Sebelum memulakan projek secara sepenuh masa, Siti Sarah yang mesra dengan panggilan Kak Sarah mengusahakan perusahaan cendawan tiram kelabu secara sambilan semasa arwah suami masih hidup. Menyedari pulangan yang baik dari perusahaan cendawan, pada tahun 2006 beliau bersama ahli keluarga dengan bermodalkan RM5,000 mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu dengan sepenuh masa.


Bagi memantapkan lagi projek yang diceburi, beliau turut mengikuti pelbagai kursus termasuklah Teknologi Memproses Cendawan, Amalan Perkilangan Yang Baik, Asas Perakaunan dan Motivasi Diri "Inner Power".


Diatas komitmen yang tinggi dan permintaan yang menggalakkan, beliau dan keluarga telah berusaha mengumpul dana hasil sumbangan peribadi arwah suami dan berbekalkan modal terkumpul, kak Sarah membeli peralatan yang diperlukan serta bangsal pengeluaran hasil.


Pengeluaran hasil cendawan meningkat daripada 50 kg sebulan pada tahun 2006 kepada 100 kg sebulan pada pertengahan 2007 dan dipasarkan di sekitar Sungkai, Slim River dan Tanjung Malim dengan harga RM10.00 sekilogram.

Dengan usaha yang dijalankan itu, Kak Sarah dan keluarga mendapat tambahan pendapatan daripada hasil jualan cendawan yang berjumlah RM400.00.

Kini, walaupun suami beliau telah pergi, namun Kak Sarah tetap cekal dan tabah meneruskan usaha menternak cendawan tiram ini hasil ilham arwah suami beliau.


Kepada yang berminat untuk menceburi bidang ini atau ingin membuat tempahan cendawan tiram boleh menghubungi Kak Sarah di talian 012-4210549.